OGOS 2022

Kerajaan Sarawak Punyai ‘Master Plan’ Jangka Panjang Bangunkan Daerah Limbang


LIMBANG: Kerajaan Sarawak mempunyai ‘master plan’ dalam membangunkan daerah Limbang ini. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, master plan ini bagi tempoh jangka panjang dengan menyediakan insfrastruktur yang baik selepas siapnya Jambatan Limbang, waterfront Limbang dan jaringan jalan raya yang baik. 

“Memang kita ada cadangan pula kalau dah siap jambatan kita hendak mengadakan master plan yang baharu untuk Limbang. 

“Umpamanya di seberang Limbang dan seberang Limbang di seberang sana. 

“Kalau, sudah ada jambatan kita buatlah insfrastrukturnya dan kita bangun semula tebing sungai di sebelah Limbang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS